Pengikut

Ahad, 27 Ogos 2023

Lucky Draw ...ada tuahnya

25hb Ogos lalu aku hadir Majlis Jamuan Makan Malam farewell dinner untuk boss aku yg bersara wajib di Hotel Seri Pacific KL. Yang best biasalah ada makan², hiburan nyanyian tari menari dan yg terpaling best adalah cabutan bertuah a.k.a lucky draw... Memang ada luck aku malam tu tapi hampir² jugak melepas sebabnya bila cabutan dibuat nama pemenang akan dipanggil sebanyak 3x kalau xde dtg tuntut nama lain pulak dibuat cabutan....melepas lah jawabnya...biasalah kekadang ada yg balik awal sebab ada hal tak dapat elak ataupun ada yg ambik kesempatan curi-curi balik awal πŸ˜‚...time aku pegi tandas pulak nama aku dipanggil ha ha...nasib baik alasan diterima...anak buah tolong ambikkan ....dapatlah set alas tidur macam "toto" moden mudah alih beserta 2 bijik bantal...ok lah tu kalau nk beli mahal jugak...benda free kan ...rezeki 😁

Khamis, 24 Ogos 2023

Petai

 Kebetulan pergi ke Pasar Malam berdekatan rumah baru-baru ni membeli petai untuk dimasak sambal petai campur udang (feveret aku sambal petai campur udang @ ikan bilis). 3 keping RM7 ...mahal nak mampus haha . Teringat sewaktu tahun-tahun 90an dulu sewaktu cuti sekolah yang panjang bersama 4-5 orang kawan masuk hutan, naik bukit turun bukit mencari petai hutan untuk dijual apabila setiapkali tiba musimnya... petai yang dipetik diikat 100 keping-100 keping seperti di dalam gambar. 100 keping dijual kepada peraih RM40-50 saja... jika difikirkan memang tak berbaloi kerana mengusung (dengan cara mengandar) petai keluar dari hutan, berjalan berjam-jam naik bukit turun bukit, meredah hutan tebal, dikejar babi hutan, disengat penyengat dan lain-lain ...pernah jugak kami terjumpa kesan tapak kaki seperti tapak kaki pak belang hu hu 😨..tapi itulah yang mengajar erti hidup...betapa sukarnya mencari wang...itulah apa yg dilalui oleh mak bapak kita yg bekerja kampung membesarkan anak-anak. 

Aku dulu dengan kawan-kawan sambil-sambil masuk hutan mencari petai ...apa saja yg dijumpai yg boleh dijual dan mendatangkan hasil seperti rotan, buah-buahan hutan seperti jering dan kerdas atau apa-apa saja yg boleh dijual memang kami belasah juga ha ha... Kini setelah berpuluh tahun menamatkan pengajian dan bekerja serta berhijrah ke negeri lain memang sudah lama tak melakukan aktiviti sebegini ....apapun ini memori dan pengalaman hidup yang sangat bernostalgia πŸ˜€

By the way, duit yg dapat hasil jualan petai dibahagi samarata dengan kawan2 lain yg ikut serta..lepas tu pergi bandar perabis beli kaset rock / metal...😁




Selasa, 22 Ogos 2023

Metallica Live in KL sedekad yang lalu

Pada tarikh 21hb Ogos 2013, sepuluh tahun yg lalu merupakan tarikh bersejarah bagi aku sebagai salah seorang pemuja muzik Metallica. Apa tidaknya 2-3 bulan sebelum itu mendengar khabar bahawa band pujaan kepada peminat-peminat muzik metal dan rock, Metallica akan datang membuat persembahan di Kuala Lumpur. Aku yg menyimpan cita-cita sejak zaman sekolah untuk melihat persembahan live band pujaan aku ni mmg berasa amat teruja. Aku yg pada masa itu bertugas di Perak terus mengirim duit kepada rakan yg berada di Kuala Lumpur meminta tolong untuk membeli tiket. Takut sold out!😁 Maklumlah pertama kali dalam sejarah band heavy metal / thrash ini datang ke Malaysia... Almaklumlah penerimaan & pandangan masyarakat Malaysia terhadap muzik metal @ rock barat yg sangat skeptikal melabel muzik rock / metal barat ini kononnya melanggar tatasusila dan norma-norma ketimuran katanya ...kalau ikutkan boleh saja kalau nk tengok Metallica perform live ni boleh ke negara jiran seperti Singapore atau Indonesia...tapi itulah banyak belanjanya membuatkan aku berfikir banyak kali.

Tiket berharga RM198.00 free standing. Duduknya jauh nun di atas bukit ha ha ..tak kisah janji dapat tengok Metallica... Aku datang ke KL dari Perak sehari sebelumnya menumpang tidur di rumah saudara di Kajang. Hari kejadian dihantar oleh saudara aku ke Stadium Merdeka. Disebabkan kesesakan lalulintas aku terlewat masuk ke stadium dan opening band Cromok dah habis main...ruginya tapi takpe niat asalnya nak tengok Metallica kan...start je pakcik Hetfield bercakap atas stage memulakan slot mereka aku dah meremang bulu roma ha ha....headbang mengikut alunan lagu dimainkan tanpa henti...sound system memang padu habis. Aku betul-betul enjoy. Yang bestnya Metallica ni memang ramai peminatnya. Bukan golongan peminat metal / rock je, aku perhatikan yg berdiri sebaris dengan aku amoi-amoi Cina yg dressingnya tak thrash / metal pun turut sing-a-long lagu2 Metallica!

Memang aku puas hati. Balik dari stadium baju basah berpeluh. Singgah kedai beli Yoko-Yoko sapu kat bahu dan leher ...lepas geram headbang tak berhenti lah katakan sampai sakit urat-urat leher😝. Harap mereka dapat datang lagi ke Malaysia. πŸ˜‰

          Tolong belikan untuk member sekali total 5 keping tix...


Selasa, 15 Ogos 2023

Hentian Puduraya dah berubah wajah

 Pemandangan Hentian Puduraya seperti zaman 90an hingga awal 2000 seperti dalam gambar ini dah takde bilamana aku kebetulan pergi ke Bangunan UTC berhampiran Puduraya baru-baru ni untuk urusan JPJ kerana membeli motorsikal secondhand untuk ulang-alik ke tempat kerja. Viewnya totally berubah seiring dengan kepesatan pembangunan terkini.




Sebenarnya ada kenangan juga aku dengan Hentian Puduraya ni dulu tahun 2001 sewaktu menjejakan kaki secara solo ke Kota Metropolitan Kuala Lumpur ni. Walaupun sebelum-sebelum tu ada ke Kuala Lumpur tapi datang dengan orang lain - rombongan sekolah, datang dengan kawan dan lain-lain co-incidence yang secara 100% aku bergantung harap dengan orang lain...jangan ditinggalkan aku sorang-sorang di KL waktu tu memang menangis dibuatnya πŸ˜†. Ingat lagi pada tarikh 30 September 2001, aku naik bas ekspress di Stesen Bas Sg. Petani Kedah tiket pukul 1000 malam menggunakan waran tiket kerajaan kerana aku diterima masuk ke perkhidmatan kerajaan - Inspektor Percubaan Polis di mana aku perlu lapor diri untuk latihan asas kepolisan di PULAPOL KL Jalan Semarak untuk training selama setahun jam 0800 pagi keesokannya πŸ˜€. Aku pun dah ingat-ingat lupa rasanya tak salah aku naik Bas Ekspress Transnasional Sg. Petani - Kuala Lumpur. Perjalanan selama lebihkurang 6 jam ...Pukul 1000 malam bas bergerak sampai di Hentian Puduraya lebihkurang jam 4.30 pagi... sementara menunggu trak polis dari PULAPOL datang jemput jam 7.30 pagi aku rehat-rehat lalu perut pun mula menyanyi lagu arab minta diisi😁.

Di ruang legar keadaan lengang tidak ramai orang yang aku nampak kebanyakannya golongan gelandangan tidur merata-rata dan paling cuak bila terbaca signage "Awas! Penyeluk Saku!" ha ha. Aku mengambil keputusan mencari kedai makan sekitar untuk mengisi perut yang berkeroncong. Dari Hentian Puduraya aku menggunakan laluan seperti sky-bridge ...jambatan yang merentangi jalanraya untuk ke deretan kedai di seberang jalan berhadapan dengan Puduraya tu. Sampai di pertengahan laluan tu aku terserempak dengan seorang lelaki yang pakaiannya compang-camping, berambut panjang dan busuk! Aku di "pow" ...cilaka! Nak melawan? Ini tempat "orang" yg kita pun tak tahu atau tak faham apa-apa lagi selok-beloknya... sementelah lagi nampak ramai mamat-mamat dengan rupa yg sama ha ha... akhirnya RM50 melayang...sudah la duit poket tak berapa banyak waktu tu terpaksa "menderma" pulakπŸ˜‘πŸ˜‘πŸ˜‘.... Takpelah takde rezeki aku tapi rezeki dia ha ha

Isnin, 14 Ogos 2023

Mat kilang di Body Fashion (M) Sdn. Bhd.

 


Tahun 1994 setelah tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS), Taiping, Perak aku pulang ke kampung bercuti panjang. Beberapa hari melepak di kampung, sementara menunggu keputusan SPM yang bakal keluar, aku mengambil keputusan untuk bekerja sementara mencari sedikit wang saku untuk perbelanjaan sendiri. Berjumpa dengan beberapa rakan sekampung yang turut mencari pekerjaan pada masa yang sama membawa kepada kesepakatan untuk berjumpa dengan seorang kawan lama sekampung  yang kerjanya memandu van kilang ke sekitar Kawasan Perindustrian Kulim, Kedah dan Sungai Petani Kedah setiap hari. 

Dipendekkan cerita, keesokan harinya seawal pagi dia berjanji membawa aku dan 4-5 orang rakan sekampung untuk ke Kawasan Perindustrian Kulim, Kedah untuk mencari kilang-kilang yang memerlukan pekerja. Dia membawa kami ke Body Fashion (M) Sdn. Bhd. yang terletak di Kawasan Perindustrian Kulim, Kedah. masuk kilang dan terus ke office untuk interview terkejut aku rupanya kilang buat baju dalam wanita atau bra ...bra jenama terkenal Triumph tau...heheπŸ˜€. Aku tengok pekerjanya punyala ramai majoritinya wanita, lelaki boleh dikira dengan jari sepanjang pengamatan aku. Ye lah namapun kilang buat bra, operator pengeluarannya sudah tentulah tukang jahit yang terdiri dari kalangan kaum hawa manakala yang lelaki ni buatlah kerja-kerja berat yang sukar atau tak mampu dilakukan wanita seperti bahagian stor, packing, angkat kotak atau barang-barang seumpamanya dan lain-lain la kerja yg memerlukan tenaga dan sesuai dengan lelaki... maka korang boleh bayangkan line production dalam kilang penuh dengan mesin jahit dan bunga-bunga (wanita) ha haπŸ˜†.... aku diterima bekerja sebagai operator pengeluaran juga tapi bukan tukang jahit la...kerja aku ialah menyusun span dan kain menjadi beberapa layer dari gulungan kain yg besar gedabak tu (macam korang tengok gulung-gulung kain besar kat kedai textile tu) secara manual...tengokla apa jenis bra yg nak diproduce tu...macam2 jenis la...kain satin, beropol2 berbunga2 semua adalah.. lepas siap layer hantar ke bahagian cutting...haa yg tu la potong jadi cup-cup bra tu hahaha...korang boleh bayangkan layer2 kain yg membalut cup bra tu kan...haa yg itu laa ...banyak jugak nampak gayanya hasil kerja tangan aku tu πŸ˜‚ aku masih ingat lagi masa tu operator pengeluaran yg wanita pakai uniform kilang baju macam lab coat....alah macam baju putih yg doktor pakai tuπŸ˜„ tapi colour merah menyala 

Kekadang aku diarahkan bantu bahagian production apabila target production department aku dah capai target. biasanya aku dipanggil membantu tolong gunting kain atau benang lebihan di bra-bra yg dah siap dijahit untuk kemaskan (mungkin selepas Q.C. atau Q.A. check) kat hujung production line tu...korang bayangkan awek-awek lalu lalang sambil tersengih² dan tak kurang jugak yg menjeling2 mcm aku ada hutang dgn dia tengok aku pegang bra pelbagai design, colour dan saiz dengan sebilah gunting di tangan  ...adehhh... wakakaka....tebal muka ...malu oi 😝

Selepas hampir 3-4 bulan jugak aku kerja kat situ aku ambil keputusan untuk berhenti ...cari kerja lain pulak...dapat tahu kilang tu ditutup operasinya pada tahun 2010 dengarnya...apapun aku ada kenangan di tempat ni...ini bukan cerita lucah tapi dari pengalaman kat sini aku dapat ilmu baru : baru aku tau Triumph tu jenama bra terkenal, baru aku tau saiz bra ada A, B, C, D huhu...baru aku tau bra ada jenis full cup, half cup, push up....macam-macam lagi la hu hu πŸ˜…πŸ˜…πŸ˜…

Ahad, 6 Ogos 2023

Bersama Selamanya - nostalgia komik zaman remaja

Kenangan 29 tahun yang lalu.... Meniti alam persekolahan zaman remaja aku seperti budak-budak sekolah lain juga yg mempunyai 2  hobi yg utama - muzik dan komik. Komik seperti Geli Hati, Gila-Gila dan Ujang adalah pilihan utama selain majalah hiburan seperti URTV, Variapop, Media Hiburan, Hai, Mangga dan lain-lain.  Maka banyaklah aku menyalahgunakan duit biasiswa dan duit poket pemberian mak bapak dihabiskan membeli majalah-majalah tersebut yang ditunggu-tunggu setiap keluarannya setiap bulan.

Paling menarik minat ialah kartun bersiri kisah Bersama Selamanya karya kartunis Gayour yang bermula keluaran siri pertamanya dalam majalah Ujang pada keluaran bertarikh 15 April 1994. Aku pada masa itu bersekolah dalam Tingkatan 5 di sekolah berasrama penuh di Taiping, Perak - SERATAS. Aku sememangnya peminat kartunis Gayour sejak zaman dia bersama majalah Gila-Gila dan Gelihati lagi. Kartun lukisannya selalunya watak mat rock dan diselitkan dengan ilustrasi watak-watak muzik heavy metal / rock barat memang kena dengan selera aku yang juga acah-acah rocker pada masa itu. 😁

Kisah yg bermula dengan watak utamanya, hero hensem berambut panjang mengurai bernama Amar yg turut meminati muzik heavy metal baru touch down dengan kapal terbang pulang ke tanahair setelah menamatkan pengajian di luar negara dengan disambut oleh keluarganya di airport. Kisah penuh dengan kasih sayang, minat terhadap muzik, melepak bersama kawan-kawan, persahabatan, pergaduhan dan diselitkan juga dengan percintaan itu amat menarik minat aku. Dan sejak dari itulah, setiap bulan aku berulang - alik ke kedai buku dan majalah menunggu untuk mengetahui episod seterusnya. Amar bersama kawan-kawan rapatnya - Din, Dollah dan Mat Tepet, Amar berkenalan dengan awek cun bernama Lin, Amar dan kawan-kawannya terlibat secara tidak sengaja dalam konflik pergaduhan dengan Joe dan kuncu-kuncunya lalu mengenali brader berbadan sado bernama Pet....argghhh.... memang best cerita ni ha ha ha. Impak dan pengaruh komik ni sampaikan aku sendiri berangan kononnya nak jadi macam Amar suatu hari nanti...  Educated, kacak & yg penting rock 🀭... Pernah satu ketika sewaktu bercuti sekolah dan pulang ke kampung bersembang dengan arwah mak di dapur... aku cakap pada arwah mak "Mak, nanti lepas SPM kalau orang dapat keputusan cemerlang bolehla gi belajar kat luar negara...lepas tu balik sini bawak menantu mek saleh untuk mak" πŸ˜πŸ˜‚ Arwah mak jawab :"..huh! takmau la nanti dia tak reti tumbuk sambal belacan kat hang!..." (Alfatihah untuk mak 😭). Arwah mak memang tau kegemaran aku dari kecik zaman sekolah sampai sekarang pun aku kalau makan nasik mesti kena ada menu ulam-ulam kampung dengan sambal belacan 😭. Syukurlah aku jodoh dapat isteri pun pandai tumbuk sambal belacan hu hu.πŸ˜€

Bercerita pasal membeli komik ni pula semasa zaman hostel life memang kelakar...sama kelakarnya dengan komik ni... yang hairannya kawan-kawan pun ramai jugak meminati siri ini. Ramai peminat tapi tak berduit nak membeli termasuklah aku... budak sekolah lah katakan.. Kalau sesiapa beli lepas habis baca akan bertukar-tukar tangan ...pinjam meminjam...kekadang sampai ke dorm atau blok lain peginya ha ha ....jangan harapla akan dapat balik...biasanya pinjam buat harta atau kesudahannya missing in action ..hilang tanpa jejak ..kalau dapat balik ke tangan pun memang koyak rabak, hilang mukasurat, kesan potongan atau gunting, contengan dan ilustrasi sketch kartunis tak bertauliah😁 ataupun dah rupa macam kertas bungkus belacan... those were the days...sakit hati jugak tapi hostel life kanπŸ˜πŸ˜‚.

Pada tahun 2015, bila aku dapat tahu koleksi siri Bersama Selamanya ni dikeluarkan secara lengkap dalam 1 jilid dengan beberapa option pakej. Aku memilih Pakej Collector's Edition C - kulit keras dengan box cardboard dengan harga preorder + postage poslaju berjumlah RM97.40. Demi mengimbau kenangan zaman remaja 29 tahun yg berlalu, apalah sangat RM97.40 kan...ha ha

"...moga kan Bersama Selamanya...."

KILL!KILL!KILL! DIE!DIE!DIEEEE!πŸ˜…πŸ˜€πŸ˜πŸ˜‚

video music credit to @shahrilibnzulkiflii









Jumaat, 4 Ogos 2023

Nostalgia Stesen Bas Lama Sungai Petani, Kedah ...1001 kenangan

Terdetik untuk menulis berkaitan memori ini apabila kebetulan hadir berkursus di Sg. Petani, Kedah pada 24 hingga 28 Julai 2023 baru-baru ini dan ada masa terluang ronda-ronda lalu ke kawasan Stesen Bas Lama Sg. Petani yang  meninggalkan 1001 kenangan buat diri aku dari zaman sekolah rendah 1980-an, zaman menengah 1990-1994, zaman menyambung pengajian di ITM Arau 1995 - awal 1998 sehinggalah menginjak zaman - zaman menjadi penganggur "terhormat" sambil mencari pekerjaan yang sesuai di bandar Sg. Petani setelah menamatkan pengajian diploma di samping krisis kemelesetan ekonomi & kejatuhan nilai ringgit tahun 1997-1998 yg terkesan bagi aku sehingga ke awal tahun 2001.

Zaman Kanak - Kanak (1984-1989)
Walaupun aku bukanlah penduduk Sg. Petani, tetapi bandar ini tidak asing bagi aku kerana daerah aku tinggal (daerah Sik) tidaklah terlalu jauh ke Sg. Petani, sementelah lagi arwah tokwan & tok (panggilan loghat Utara bagi datuk & nenek) adalah penduduk tetap Sg. Petani sejak 1950-an dan ramai saudara-mara serta adik-beradik aku menetap di Sg. Petani. Yang menariknya juga arwah tokwan aku adalah penarik beca yang mana tempat mereka (penarik-penarik beca) berkumpul untuk mendapatkan pelanggan menaiki beca bagi destinasi-destinasi berdekatan atau sekadar pusing-pusing bandar adalah di stesen bas. Jadinya dulu-dulu tahun 80-an, sewaktu sekolah rendah jika datang ke Sg. Petani untuk menziarah tok dan tokwan kami (biasanya aku, arwah mak dan adik aku) tak perlu bimbang... naik bas MARA dari Sik ke Sg. Petani turun di stesen bas boleh naik beca arwah tokwan πŸ˜„. Masih segar di ingatan apabila sampai dan turun dari bas, perkara pertama yg wajib bagi aku adalah membeli kacang tanah rebus ataupun kacang kuda rebus yang dibungkus dalam kertas suratkhabar berbentuk kon sebagai kudapan sambil naik beca memerhatikan kesibukan lalulintas bandar Sg. PetaniπŸ˜…. 

Zaman Menengah & melanjutkan pengajian ke ITM (1990- awal 1998) 
Aku juga bersekolah di sebuah sekolah berasrama penuh di Taiping, Perak dari Tingkatan 1 hingga 5 (1990 - 1994) dan seterusnya menyambung peringkat diploma di ITM Arau, Perlis (July 1995 hingga awal 1998) jadinya stesen bas Sg. Petani adalah "persinggahan" wajib bagi aku setiap kali pulang bercuti dan kembali semula ke sekolah / ITM selepas tamat cuti. Seingat aku setiap kali bercuti panjang juga aku mengambil kesempatan melepak di Sg. Petani bersama-sama kawan sekampung ataupun kawan-kawan aku yg aku kenal dari Taman Keladi, Tmn Sri Wang, Tmn Sejati Indah Sg. Petani memandangkan ada adik beradik dan saudara-mara aku tinggal di sana dan kerap juga aku menghabiskan cuti di rumah mereka.

Zaman sekolah menengah dan ITM dulu setiap kali pulang bercuti sekolah atau semester break (ITM), aku perlu pastikan aku sampai sekurang²nya jam 8 mlm di stesen bas Sg Petani sebab bas MARA ke pekan berhampiran kampung aku ikut jadual bas terakhir pkul 8.30 malam. Kalau lewat dari itu alamatnya tidur di stesen bas lah aku. Beberapa kali jugak aku bermalam di stesen bas Sg. Petani ni. Dah la masih budak sekolah, nampak pulak papan tanda bertulis : "Awas! Penyeluk saku!" lagi lah seram πŸ˜‚itu tak kira lagi kaki botol kaki mabuk, mat pet dan org kurang siuman yg berkeliaran ha haπŸ˜‚. Ada jugak sekali tu aku sampai di stesen bas ni pkul 9 mlm dan terlepas bas terakhir maka terpaksalah tido di stesen bas. Baru nak terlelap ada sorang brader umur masih muda lagi agak2 aku dalam baya-baya 30-an dtg dekat aku cakap "jomlah ikut abang tumpang tidoq rumah abg...tidoq kat sini bahaya..." katanya dlm loghat pure Kedah. Aku yg serba salah dan takut² cuba menolak namun dek kerana nampak dia beriya sangat dan instinct aku nampak keikhlasannya maka aku ikut je bonceng motornya harap² betul dia ikhlas dan tiada niat tak baik ...sampai di rumahnya yg aku rasa penempatan setinggan tepi sungai sebelah stesen bas tu nmpak isterinya bukak pintu...ada anak sorang lingkungan umur 5 tahun....pehhh...selamat rasanya. Terima kasihlah kepada brader tu dan familinya walaupun aku tak pernah jumpa dia lagi selepas tu. Esoknya pagi² dia hantar aku ke stesen bas lepas sarapan nasik goreng kampung dan kopi 'o' air tangan isterinya dan aku naik bas yg pertama ikut jadual perjalanan πŸ˜„πŸ˜„πŸ˜„.



Bas UTC antara bas yang menjadi pengangkutan utama ke kawasan-kawasan sekitarnya.

 

Dulu-dulu kalau sampai awal tengok jadual bas lambat lagi nak bertolak dan masih ada banyak masa terluang, sempat simpan beg di kedai-kedai yang menawarkan khidmat simpanan beg kat stesen bas ni dengan harga rm1.00 dan kita boleh ke hulu ke hilir tanpa terbeban dengan beg pakaian atau barang-barang yang dibawa. Aku jugak tak terlepas menggunakan perkhidmatan ini setiapkali pulang bercuti atau hendak pulang ke asrama semula. Hampir-hampir bas nak bertolak lagi 10-15 minit boleh pegi ambil beg semula dan sebelum itu boleh kesana kesini dengan aman ha haπŸ˜€



Era Melepak Cuti Sekolah & Semester Break dan kegilaan terhadap muzik (1990an - 1998)
Stesen bas inilah port melepak dan menghabiskan masa bersama rakan² sealiran ketika zaman era 90-an dulu. Macam² gelagat boleh dilihat. Ada gerombolan anak muda berambut panjang macam baru keluar dari gua, berpakaian serba hitam dengan t-shirt berlogo band dengan gambar seram dan ilustrasi segala jenis hantu kuburan samada dilukis sendiri menggunakan dye putih & merah ataupun t-shirt bootleg yg dibeli (zaman tu mana kira ori @ tak - asal boleh je), jeans potongan bootcut atau bell bottom dan skinny hasil jahitan sendiri mahupun kerja tangan tukang jahit kedai, sneakers hi-cut dan boots hitam persis kasut tentera. Tidak kurang juga yg berjaket jeans dan leather yang mementingkan gaya cool walaupun hakikatnya bermandi peluh πŸ˜…. Aku yg pada masa ini era 90-an (berumur belasan tahun sehingga awal 20-an) tidak terkecuali terlibat sama menjadi sebahagian kutu lepak memandangkan aku juga bermula dari era demam muzik rock hasil terdidik secara tak sengaja kerana setiap kali balik dr sekolah mendengar secara tidak sengaja lagu - lagu rock melalui mini-compo hutang kedai milik abang aku 😁, maka kalau dah setiap hari terhidang benda yg sama lalu turut terpengaruh menjadi mat rock "pak turut" yg mempunyai knowledge yg limited kerana kekurangan sumber rujukan sehinggalah menjadi mat trash (panggilan thrash pada waktu itu bagi golongan peminat muzik keras). Aku pada masa itu yg sedang kemaruk muzik keras selepas mendapat tawaran melanjutkan pengajian menengah di sebuah sekolah berasrama penuh di Taiping Perak dan terdedah dengan lebih banyak info tentang scene underground metal pada masa itu. Kerapkali aku bergaya jugak dengan jaket denim asalkan nampak cool walaupun di tengah panas rembang tengahari ...nak rock punya pasal😝😝😝.

Kumpulan lain dapat dilihat geng punk rocker dengan rambut mohawk, Doc Mart hingga paras betis dengan jaket kulit dan denim tak kurang juga gerombolan mat-mat skinhead bergaya dengan steeltoes masing-masing.

Sudut-sudut lain ada lagi geng bergaya seperti rappers pujaan mereka yang top pada era itu seperti 4U2C, NICO dan KRU sementara yg wanita lagaknya seperti ahli kumpulan Feminin, Res'2, M'Steen dan seangkatan πŸ˜„.

Aktiviti berpeleseran dan melepak ini memenuhi ruangan kaki lima bangunan dan kedai makan sekitar stesen bas ini kelihatan semakin rancak dan lebih happening setiap Jumaat, Sabtu & Ahad. 

Kalau ada gig di Penang selalunya maka stesen bas inilah menjadi tumpuan dan pertemuan geng-geng mat metal berpakaian all blacks termasuklah aku yg menggunakan bas untuk ke Butterworth, Pulau Pinang seterusnya ke venue gig yg letaknya di pulau seberang. Makanya suasana dipenuhi dengan pelbagai ragam dan rupa mat metal berpakaian serba hitam kelam... baru lah kena dengan tajuk rilisan metal berat "As The Sky Turns Black" hahahaπŸ˜…
Mat rock dan mat metal 80an - 90an dari Sg Petani, Yan, Kuala Ketil, Sik, Baling dan daerah-daerah berdekatan dengannya kalau tengok gambar ni mesti terkenang nostalgia... Stesen Bas Sg Petani.... di sini letaknya Kedai Muzik Nan Yang adik beradik kembar keturunan Cina  yang menjadi lubuk segala demo, kaset, CD, zine, majalah, flyers, stiker, poster, aksesori metal dan pelbagai barangan berkaitan muzik... bas UTC, bas MARA, Supermarket Sri Kota (betulke nama..ingat² lupa) 😭😭😭. Banyak jugak "pelaburan" aku di kedai ni hasil duit biasiswa masa belajar, duit poket yg mak bapak bagi mahupun duit gaji aku habis kerana kedai yg berhantu ni 😁Aku tak tahu orang lain tapi bagi aku setiapkali aku menonton filem "Rock - Rimba Bara" karya Allahyarham Mamat Khalid, flashback-flashback ini muncul kembali mengingatkan kisah-kisah yg sedikit sebanyak ada kena mengena dengan babak perjalanannya yg sama walaupun pada sisi yg berbeza.😒πŸ˜₯😭

Jujurnya aku sendiri boleh datang melepak seorang diri menghabiskan masa berjam-jam lamanya sambil memerhatikan gelagat manusia di sini. Begitu kuatnya daya tarikan tempat ni ...Kalau melepak bersama rakan-rakan pun aktiviti biasa hanyalah bersembang kosong tentang muzik metal, rilisan-rilisan baru, "window shopping" (zaman tu manalah ada duit sangat😁) kaset dan barangan muzik lain di Kedai NanYang Music, pekena bihun sup power sambil menghirup udara sungai sebelah yang airnya  hitam pekat dan penuh sampah sarap sambil melayan lagu RM1.00 sekali play dari peti muzik jukebox 😁.







Pertengahan 1998 - awal 2001
Pada pertengahan 1998 aku telah menamatkan pengajian peringkat diploma dan mengambil keputusan untuk berhijrah ke Sungai Petani mencari pekerjaan sesuai dengan kelulusanku. Hajatnya ingin menceburkan diri dalam bidang perbankan ataupun eksekutif di syarikat-syarikat swasta atau apa sahaja pekerjaan yg sesuai dengan bidang pengajian perniagaan semasa di ITM dulu. Malangnya, era 1997 hingga 1998 merupakan zaman kejatuhan teruk ekoran krisis kemelesetan ekonomi. Banyak kilang ditutup, pekerja-pekerja diberhentikan secara VSS dan pendek kata sekiranya pekerja yg mempunyai masalah disiplin atau rekod buruk ditempat kerja alamatnya cepatlah ditendang bagi mengurangkan kos. Aku juga tidak terkecuali, hadir interview merata tempat namun tiada rezeki nampaknya. Bagi meneruskan hidup aku melakukan macam-macam kerja ...kerja kilang besi cuma bertahan 3 bulan, kerja promoter shopping mall bertahan 1 hari πŸ˜‚, kerja KFC bertahan agak lama sehingga 2 tahun dan pelbagai lagi pekerjaan yg aku buat samada secara part time dan fulltime bagi meneruskan hidup. Akhirnya aku bertukar kerja sebagai eksekutif jualan di salah sebuah syarikat hartanah terkenal di Sg. Petani sehinggalah aku mendapat tawaran kerja gomen pada penghujung tahun 2001 dan berhijrah ke negeri lain.
Sepanjang tempoh bekerja di Sg. Petani apabila ada masa terluang atau off day aku akan menghabiskan masa melepak samada secara solo atau bersama rakan-rakan di stesen bas ni. Seingat aku 3 kali juga aku kena "pegang" dengan "tok bon" (anggota polis mata gelap) dan kena pergi urine test di balai polis. Dah macam pendatang haram (PATI) naik landrover atau black maria ramai-ramai 😭 Mata-mata yang memandang takpayah cerita lah. Nasib baiknya aku clean ha ha. Ye lah dengan badan kurus kering, kawan-kawan yg melepak sama pun berambut panjang ala-ala watak Taruna & Aduka dalam filem Semerah Padi 😁, pakaian all blacks dengan tshirt gambar hantu kubur sesiapa yang memandang pun akan bersangka buruk. Benarlah lirik lagu : "...rambut aku panjang...dia kata jembalang..." πŸ˜€πŸ˜‚

Zaman suram dan kejatuhan
Aku tidak tahu sejak bila stesen bas ini telah menamatkan "perkhidmatan"nya sebagai pusat  pengangkutan awam 
utama ke seluruh pelusuk daerah Kuala Muda dan daerah / negeri berhampiran. Setelah aku memasuki alam pekerjaan tetap dan berhijrah ke negeri lain, hanya pulang ke kampung  2 atau 3 kali setahun, aku sudah jarang melalui atau pergi ke tempat ini...maklumlah sudah memiliki kereta sendiri yg dibeli setelah bekerja tetap. Apabila kebetulan, at last setelah bertahun-tahun lamanya singgah ke kawasan ini pada tahun 2015, sedar-sedar dah keadaannya begitu... suram dan sunyi sepi seperti dilanggar garuda tidak seperti dulu yang kesibukan dan hiruk pikuknya mengalahkan pasar malam.

Mungkin keadaan ini bermula sejak Terminal Bas Ekspress Ukir Square di Jalan Kuala Ketil yg menempatkan Bangunan UTC mula dibuka sejak 2013 dulu dan semua perkhidmatan bas berpindah ke sana.

Mungkin juga peredaran zaman sekarang yang semakin maju, pengangkutan awam khususnya bas sudah kurang mendapat sambutan.

Semasa aku pergi pada 28 Julai lalu, ternampak beberapa buah bas masih ada di stesen bas ini antaranya bas Tanjung Mewah, bas MARA dan KBRT yg pada pendapat aku syarikat-syarikat bas ini masih menggunakan tempat ini untuk mengambil dan menurunkan penumpang tetapi suasananya sudah tidak seperti dulu.


2022 - kebakaran yang melenyapkan semua kenangan







Kejadian kebakaran yang berlaku pada 23 Oktober 2022 sekitar pukul 4.45 petang itu melibatkan deretan kedai Bangunan PKNK dua tingkat yang dibina sejak 1970-an itu di Stesen Bas lama Sungai Petani, Kedah. Hati aku turut "menangis" membayangkan flashback-flashback kenangan di tempat ini yang seolah-olah seperti lenyap bersama api yg marak itu.



















Kini kenangan lebih 30 tahun yang lalu masih kekal di ingatan dan tak mungkin terpadam dari sejarah hidup aku. Aku juga menjadi sebahagian dari pengkisahan tempat ini yang melakar 1001 kenangan pahit dan manis. Kini tiada lagi suasana berdebu, tompokan minyak dan asap dari enjin bas serta manusia yang seolah-olah "berlari" kesana kesini menyelesaikan urusan masing-masing di kawasan ini seperti dulu. Yang tinggal hanyalah sebuah kenangan yg tak akan terpadam dari lipatan sejarah hidup aku yg begitu indah untuk dikenang. 😭😭😭 

"Stesen Bas Lama Sg. Petani.... nostalgia yg kekal dalam lipatan sejarah hidup ...1001 kenangan terindah pahit manis meniti kehidupan.."πŸ˜₯πŸ˜₯πŸ˜₯


Nota : Gambar-gambar di dalam entri ini ada yang diambil sendiri, ada yg diambil secara random dari internet dan ada yg diambil dari edaran melalui media sosial seperti whatsapp dan sebagainya. Jika sekiranya terdapat kalangan pembaca merasakan gambar-gambar ini adalah milik mereka mohon direct message saya untuk dicatatkan credit sebagai penyumbang. Terima kasih.